Design a site like this with WordPress.com
Mulakan
Featured

KURSUS PERANCANGAN PEWARISAN & PENGURUSAN HARTA PUSAKA

KHAS UNTUK ANDA YANG MAHU BELAJAR MENGENAI PERANCANGAN PEWARISAN & PENGURUSAN HARTA PUSAKA!

“KURSUS PERANCANGAN PEWARISAN & PENGURUSAN HARTA PUSAKA-PALING LENGKAP DAN HARGA PALING BERPATUTAN!”

BELAJAR CARA-CARA UNTUK MENGURUS PEWARISAN & HARTA PUSAKA DARI AWAL SAMPAI SELESAI.
LENGKAP, SENANG NAK FAHAM DAN BUAT!
EFEKTIF UNTUK PASTIKAN INSTRUMEN YANG DIBUAT ADALAH SAH & BERKUATKUASA

Disampaikan oleh:

AHMAD TERMIZI ABDULLAH
Peguambela & Peguamcara
Peguam Syarie
Pengarang lebih 20 judul buku-buku berkaitan faraid, hibah, wasiat, dan pusaka.
Penasihat Perundangan dan Syariah di sebuah Syarikat Amanah
Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu
Pembentang di kursus dan seminar bagi program-program berkaitan faraid, hibah, wasiat, dan pusaka 
Pengasas Kaedah KIROSSAKO: Mudahnya Faraid
Pemilik pustakamizi.com

SOALAN-SOALAN YANG SELALU MEMENINGKAN ANDA PASAL PERANCANGAN PEWARISAN & PENGURUSAN HARTA PUSAKA:

* Siapakah yang berhak kepada harta pusaka dan berapakah hak mereka?
* Apakah instrumen perancangan pewarisan yang paling sesuai untuk saya?
* Bolehkah saya nak tentukan kepada siapa harta saya akan diwariskan?
* Adakah instrumen perancangan pewarisan hanya sah setelah waris mengizinkan?
* Macamanakah nak mulakan pengurusan harta pusaka?

KALAU ANDA ADA SOALAN-SOALAN INI BERMAIN DALAM FIKIRAN, MEMANG KURSUS PERANCANGAN PEWARISAN DAN PENGURUSAN HARTA PUSAKA INI ADALAH UNTUK ANDA!

Kursus akan berlangsung selama 12 hari pada hari Sabtu & Ahad seperti jadual di bawah, melibatkan 12 modul. Setiap modul terdapat 2 slot.

Slot pertama pada jam 8:30 pagi hingga 10:30 pagi
Slot kedua pada jam 11:00 pagi hingga 1:00 tengahari

Jam 10:30 pagi hingga 11:00 pagi adalah waktu rehat yang mana peserta dibekalkan kotak makanan & minuman. Dalam masa yang sama, peserta boleh membeli-belah buku-buku semasa waktu rehat tersebut.

Peserta boleh memilih mana-mana modul yang mereka berminat, dan hanya membayar yuran bagi modul yang dipilih. Yuran adalah termasuk bahan pembelajaran dan makanan/minuman bagi setiap peseta.

Jadual Pembelajaran dan Modul-Modul Adalah Seperti Berikut:

Sila Muat Turun di Pautan Berikut:

Lokasi program adalah di:

Onthego Travel & Tours Sdn Bhd

No. 17B, Jalan SG 3/17, Taman Sri Gombak, 68100 Batu Caves.

MASIH LAGI HARGA PROMOSI! HANYA RM100 SAHAJA UNTUK SETIAP MODUL.

KAMI MENAWARKAN SATU MODUL PERCUMA SEKIRANYA ANDA MEMILIH UNTUK MENDAFTAR 5 HINGGA 9 MODUL.

BUKAN SETAKAT ITU, SEKIRANYA ANDA MENDAFTAR UNTUK 10 MODUL, MAKA KAMI MENAWARKAN DUA MODUL PERCUMA UNTUK ANDA. MAKNANYA, ANDA MEMPUNYAI PILIHAN UNTUK MEMBAYAR 10 MODUL BAGI KESELURUHAN MODUL.

APA YANG AKAN ANDA BELAJAR DALAM KURUS INI?

MODUL 1: Sabtu, 18 Julai 2020
KIROSSAKO (ASAS)

MODUL 2: Ahad, 19 Julai 2020
KIROSSAKO (LANJUTAN)

MODUL 3: Sabtu, 25 Julai 2020
KEMATIAN BERLAPIS

MODUL 4: Ahad, 26 Julai 2020
TOLAK HAK 

MODUL 5: Sabtu, 8 Ogos 2020
HIBAH MUTLAK & HIBAH RUQBA

MODUL 6: Ahad, 9 Ogos 2020
HIBAH TAKAFUL & HIBAH AMANAH

MODUL 7: Sabtu, 15 Ogos 2020
HIBAH HARTANAH BERCAGAR & DOKUMENTASI HIBAH

MODUL 8: Ahad, 16 Ogos 2020
WASIAT KEPADA WARIS, & MUDAHNYA MENULIS WASIAT

MODUL 9: Sabtu, 22 Ogos 2020
TERTIB PENGURUSAN HARTA PUSAKA & HARTA PUSAKA ATAU BUKAN 

MODUL 10: Ahad, 23 Ogos 2020

HARTA SEPENCARIAN & WARIS PATAH TITI

MODUL 11: Sabtu, 29 Ogos 2020

PUSAKA KECIL & PUSAKA BESAR

MODUL 12: Ahad, 30 Ogos 2020

WARIS HILANG & ISU-ISU PEWARISAN FELDA, ADAT PERPATEH, WARIS KANAK-KANAK, PENAMA, ANAK TAKSAH TARAF, DSB.

MASIH LAGI HARGA PROMOSI! HANYA RM100 SAHAJA BAGI SETIAP MODUL!

BAGAIMANA NAK DAFTAR KURSUS INI?

Sila buat pembayaran di pautan berikut:

https://app.senangpay.my/payment/142150973372052


Anda akan dibawa ke page pembayaran. Kemudian masukkan “Kursus Perancangan Pewarisan dan Pengurusan Harta Pusaka” sebagai “Product Name”. Tulis jumlah pembayaran berdasarkan modul yang anda pilih.

Kini lebih senang, cepat dan selamat dengan pilihan bayaran pindahan wang dari pelbagai akaun bank anda melalui SenangPay.

Setelah buat bayaran, sila buat pendaftaran di pautan berikut:

https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSfhlz36DdER3Mdg2ErLIlP16INVaxiOhibJq2PRfgB_JHNdoA/viewform

Hanya masukkan maklumat diri, pilihan modul, jumlah pembayaran, tarikh & masa pembayaran dibuat. Anda tidak perlu kepilkan bukti pembayaran kerana kami boleh mengesannya melalui sistem SenangPay.

Contoh: Jika anda membuat pembayaran sebanyak RM500, anda layak mendaftar untuk 6 modul.

Setiap peserta akan ditempatkan di ‘workstation’ masing-masing dengan kerusi dan meja berasingan pada jarak 1 meter.

Kursus ini hanya terhad kepada 18 orang peserta sahaja bagi setiap modul.

Terima kasih kepada anda semua!

KEMATIAN BERLAPIS

Soalan: 

Si mati meninggalkan suami, 3 anak perempuan, dan 3 anak lelaki. 5 tahun selepas itu, suami mati meninggalkan isteri yang baru dikahwininya selepas kematian si mati pertama tadi, 6 orang anak dari isteri pertama itu tadi, dan 2 orang anak lelaki dari isteri kedua. Kira faraid bagi pembahagian harta pusaka kematian si mati pertama.

Jawapan:

Kematian pertama:

Pertamanya, kita buat pengiraan bagi kematian pertama.

Suami dapat 1/4 kerana si mati ada meninggalkan anak-anak. Baki 3/4 adalah untuk anak-anak lelaki dan perempuan, pembahagian secara ta’sib(dua untuk anak lelaki nisbah satu untuk anak perempuan) kerana mereka adalah waris asabah bil-ghairi (waris yang menghabiskan harta pusaka atas asas mereka sama darjat, anak-anak kepada si mati).

Maka baki 3/4 hendaklah dibahagikan kepada 6 orang anak si mati. Pembahagian hendaklah berdasarkan saham bagi setiap anak, iaitu 2 saham bagi anak lelaki, dan 1 saham bagi anak perempuan. Apabila dibuat penjuzukan saham mereka, jumlah keseluruhan juzuk saham mereka ialah 9. 

[(3 anak lelaki) x 2 saham] + [(3 anak perempuan) x 1 saham]

(3 x 2) + (3 x 1)

6 + 3

9

Maka angka 9 jumlah juzuk saham ini hendaklah dibahagikan kepada 6 orang anak-anak si mati. Kita dapati terdapat angka musytarik(boleh dikecilkan / dimatikan) antara angka 9 (jumlah juzuk saham) dengan angka 3 (saham asal iaitu baki harta pusaka). Angka 9 dengan angka 3 boleh dikecilkan dengan sifir 3, menjadikan angka sembilan dikecilkan kepada 3, manakala angka 3 dikecilkan kepada 1.

Tashih (Pembetulan) bagi kiraan ini dengan cara melihat angka kadar (4) dengan angka jumlah juzuk saham (3). Angka 4 dengan angka 3 tidaklah sama, tiada angka sepunya, maka hendaklah kita darab antara keduanya. Kaedah ini dalam ilmu faraid dinamakan sebagai tabayun (pendaraban). Jadi, 4 x 3 = 12. Angka 12 menjadi angka tashih.

Selepas itu, setiap angka pada bahagian kadar didarab dengan angka juzuk saham, menjadikan tashih bagi setiap waris. Tetapi bagi bahagian suami, angka kadar (1) hendaklah didarab dengan angka jumlah juzuk saham (3) kerana kita tidak pernah memecahkan saham suami kepada juzuk saham. Maka, ia kekal dengan saham asal didarab terus dengan jumlah juzuk saham, menjadikan saham suami ialah 3/12.

Kematian kedua:

Kemudian kita beralih kepada kiraan bagi kematian kedua.

Isteri dapat 1/8 kerana si mati meninggalkan anak-anak. Maka, anak-anak si mati mendapat baki 7/8 dibahagi secara ta’sib(dua untuk anak lelaki nisbah satu untuk anak perempuan) kerana mereka adalah waris asabah bil-ghairi (waris yang menghabiskan harta pusaka atas asas mereka sama darjat, anak-anak kepada si mati).

Maka baki 7/8 hendaklah dibahagikan kepada 8 orang anak si mati. Pembahagian hendaklah berdasarkan saham bagi setiap anak, iaitu 2 saham bagi anak lelaki, dan 1 saham bagi anak perempuan. Apabila dibuat penjuzukan saham mereka, jumlah keseluruhan juzuk saham mereka ialah 13. 

[(5 anak lelaki) x 2 saham] + [(3 anak perempuan) x 1 saham]

(5 x 2) + (3 x 1)

10 + 3

13

Maka angka 13 jumlah juzuk saham ini hendaklah dibahagikan kepada 8 orang anak-anak si mati. Tiada angka musytarik (boleh dikecilkan / dimatikan) antara angka jumlah juzuk saham (13) dengan angka saham asal (7).

Tashih (Pembetulan) bagi kiraan ini dengan cara melihat angka kadar (8) dengan angka jumlah juzuk saham (13). Angka 8 dengan angka 13 tidaklah sama, tiada angka sepunya, maka hendaklah kita darab antara keduanya. Kaedah ini dalam ilmu faraid dinamakan sebagai tabayun (pendaraban). Jadi, 8 x 13 = 104. Angka 104 menjadi angka tashih.

Selepas itu, setiap angka pada bahagian kadar didarab dengan angka juzuk saham, menjadikan tashih bagi setiap waris. Tetapi bagi bahagian isteri, angka kadar (1) hendaklah didarab dengan angka jumlah juzuk saham (13) kerana kita tidak pernah memecahkan saham isteri kepada juzuk saham. Maka, ia kekal dengan saham asal didarab terus dengan jumlah juzuk saham, menjadikan saham isteri ialah 13/104.

Kiraan Kematian Berlapis:

Bagi kiraan berlapis, kita hendaklah melihat kepada bahagian yang si mati dapat dalam pengiraan kematian pertama dengan angka tashih pada kematian kedua. Konsepnya ialah, hak si mati 2 (iaitu 3/12) kita hendak hapuskan (nasakh) atau pindahkan kepada kematian berikutnya dan membawa ia masuk ke tashih (pembetulan) pengiraan kematian kedua (104).

Caranya ialah, kita mencari angka FAKTOR SEPUNYA TERBESAR (FSTB) antara angka 3 dengan angka 104. Angka FSTB ialah 1, maka angka 1 kita letakkan kat atas lajur ‘Hubungan’.

Selepas itu, kita bahagikan angka hak si mati 2 dapat (iaitu angka 3) dengan angka FSTB (1), jawapannya 3. Angka 3 kita letakkan pada atas lajur ‘Tashih’ pada pengiraan kematian kedua.

Kemudaian, kita bahagikan angka tashih pada pengiraan kematian kedua (104) dengan angka FSTB (1), jawapannya 104. Angka 104 kita letakkan pada lajur ‘Tashih’ pada pengiraan pertama.

Ia nampak macam bersilang. Inilah kaedah bersilang yang diajar dalam kebanyakan kitab-kitab faraid.

Manakala angka ‘Munasakhat’ kita dapat dengan cara mendarabkan asal masalah/tashih pengiraan kematian pertama (12) dengan angka 104 yang kita letak kat atas lajur ‘Tashih’ itu tadi. 12 x 104 = 1248. Angka 1248 adalah angka ‘Munasakhat’.

Seterusnya kita darab semua bahagian waris yang masih hidup dengan angka 104. Hasilnya ialah setiap anak lelaki dapat 2 x 104 = 208, dan setiap anak perempuan dapat 1 x 104 = 104. Angka-angka ini kita letak pada lajur ‘Munasakhat’ sebelah kiri menunjukkan jumlah saham yang waris-waris ini terima pada kematian pertama.

Seterusnya, kita darab pula semua bahagian waris yang masih hidup dengan angka 3 untuk mengetahui hak mereka bagi kematian kedua. Hasilnya, setiap anak lelaki dapat 14 x 3 = 42. Setiap anak perempuan dapat 7 x 3 = 21. Manakala isteri dapat 13 x 3 = 39.

Akhirnya, kita jumlahkan apa yang waris-waris terima bagi kematian pertama dan kematian kedua menjadikan ‘Tashih’ (Pembetulan) seterusnya. Jadi, setiap anak lelaki dari si mati pertama dapat 208 + 42 = 250. Setiap anak perempuan dapat 104 + 21 = 125. Manakala isteri kekal 39, dan anak lelaki dari isteri kedua kekal 42 bahagian daripada keseluruhan bahagian 1248.

Wallahu a’lam

Oleh:

Ahmad Termizi Abdullah

mizico@gmail.com

2 Mei 2020

Anda boleh muat turun artikel ini di pautan berikut:

KE ARAH PELAKSANAAN HUDUD DAN QISAS DI MALAYSIA

  • Artikel ini boleh dimuat turun di sini:

Dalam melayari laman web Tun Abdul Hamid Mohamad, mantan Ketua Hakim Negara, saya menjumpai satu artikel mengenai teori pelaksanaan hukum hudud dan qisas di Malaysia. Walau pun, artikel tersebut telah lama beliau tulis, tetapi ia masih tetap relevan kerana kita masih belum pun membuat apa-apa tindakan realistik dalam merealisasikan pelaksanaan hukuman hudud dan qisas di negara kita. Artikel asal Tun Abdul Hamid boleh dimuat turun dan dibaca di pautan berikut:

http://www.tunabdulhamid.my/index.php/speech-papers-lectures/item/702-pelaksanaan-hudud-di-brunei-perbezaan-di-antara-brunei-dan-malaysia

Saya rasa terpanggil untuk menulis artikel ini kerana saya pernah menganggotai Jawatankuasa Penambahbaikan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Negeri Kelantan 1993 dan Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Jenayah Syariah Peringkat Persekutuan pada tahun 2014 hingga 2015 dulu. Saya juga menulis thesis pada peringkat Ijazah Sarjana saya berkenaan isu ini. Ijazah Sarjana Perbandingan Undang-Undang saya di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim adalah secara penulisan disertasi penuh dengan tajuk “The Implementation of Islamic Criminal Law in Malaysia; Challenges and Prospects” siap lebih awal dari segala hiruk pikuk tentang hudud dan qisas sekitar tahun 2014 dulu. Thesis saya siap pada tahun 2005 di bawah kelolaan Prof. Dr. Abdul Rahman Awang, dan Prof. Madya Ibrahim Ismail, guru-guru saya yang saya hormati.

Secara ringkasnya, apa yang saya faham dari tulisan Tun Abdul Hamid ialah, Tun mencadangkan pelaksanaan hukuman hudud dan qisas di Malaysia adalah sebagaimana berikut:

  • Peringkat Persekutuan melaksanakan hukuman hudud dan qisas bagi kesalahan-kesalahan jenayah seperti berikut: mencuri, merompak, membunuh, dan mencederakan; manakala
  • Peringkat Negeri melakasanakan hukuman hudud dan qisas bagi kesalahan-kesalahan jenayah seperti minum arak, zina, tuduhan zina, dan murtad.

Tun Abdul Hamid membahagikan hukuman hudud dan qisas kepada dua set pelaksanaan melihat kepada siapakah bakal penjenayah yang akan dilaksanakan hukuman hudud dan qisas itu. Mengikut Tun Abdul Hamid, bagi kesalahan-kesalahan jenayah yang bersifat umum, dilakukan oleh orang Islam dan bukan Islam, maka ia hendaklah ditangani oleh peringkat persekutuan di Mahkamah Sivil sebagaimana yang berlaku sekarang seperti kesalahan-kesalahan mencuri, merompak, membunuh dan mencederakan memang sudahpun sedia wujud di dalam Kanun Keseksaan. Pindaan hanya perlu dibuat dari sudut jenis hukuman, iaitu hukuman potong tangan bagi kesalahan mencuri, dan hukuman pembayaran diyat bagi kesalahan yang berkait dengan pembunuhan dan menyebabkan kecederaan.

Manakala bagi kesalahan-kesalahan yang khusus untuk orang Islam sahaja seperti kesalahan minum arak, zina, tuduhan zina, dan murtad boleh dikekalkan pada peringkat negeri di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah juga seperti yang diamalkan sekarang. Cuma, pindaan perlu dibuat kepada had maksima hukuman seperti sebat 100 kali bagi kesalahan zina, sebat 80 kali bagi kesalahan menuduh zina, dan sebat 40 kali bagi kesalahan minum arak. Pindaan juga perlu dibuat kepada jenis hukuman iaitu dengan mewujudkan hukuman baru bagi kesalahan zina bagi pesalah muhsan, iaitu rejam sampai mati.

Begitulah pendapat Tun Abdul Hamid yang saya fikir ada logiknya dan memang pernah kami bincangkan pada peringkat Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Jenayah Syariah Peringkat Persekutuan dulu. Kami membincangkan peta jalan (road map) ke arah pelaksanaan hukuman hudud dan qisas di negara kita ini dan cadangan yang dikemukakan oleh Tun Abdul Hamid seingat saya, memang ada dibincangkan.

Cumanya, di sana ada pendapat yang mengatakan bahawa pelaksanaan hukuman-hukuman hudud dan qisas pada peringkat persekutuan yang dikuat kuasakan di bawah Mahkamah Sivil itu, jika dibuat segala pindaan kepada hukuman-hukuman yang ada sekarang dengan memperkenalkan hukuman potong tangan dan pelaksanaan diyat, bukanlah bermaksud kita telah menjalankan hukuman hudud dan qisas. Ini adalah kerana, proses pendakwaan, proses pembuktian, dan proses menjatuhkan hukuman itu agak mustahil boleh dilakukan secara patuh syariah jika ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil kerana hakim-hakim di Mahkamah Sivil tiada kelayakan untuk membicarakan kes-kes yang disenaraikan sebagai ‘kesalahan jenayah Islam’ iaitu kesalahan hudud dan qisas.

Pindaan juga perlu dibuat pada Akta Keterangan, Tatacara Jenayah dan 1001 satu pindaan lain bagi ‘mengislamkan’ undang-undang sivil. Undang-undang sedia ada itu tidak hanya akan menjadi Islam jika sekadar jenis hukuman yang dipinda. Tambahan pula, elemen jenayah curi tidak sama dengan elemen jenayah ‘sariqah’, elemen jenayah rompak tidak sama dengan elemen jenayah ‘hirabah’, elemen menyebabkan kecederaan tidaklah sama dengan elemen ‘jurh’, dan elemen denda tidak sama dengan elemen ‘diyat’. Maka untuk mengharmonikan perkara-perkara ini dengan konsep Islam yang sebenar di Mahkamah Sivil, agak berat juga sebenarnya tugas ini.

Maka timbullah cadangan supaya kesalahan-kesalahan jenayah peringkat persekutuan itu yang termasuk dalam kategori boleh dihukumkan dengan hukuman hudud dan qisas itu di bawa ke peringkat negeri dan diurustadbir oleh Mahkamah Syariah. Isu-isu tentang konflik bidang kuasa, double jeopardy, kesaksamaan undang-undang dan meraksasakan Mahkamah Syariah pula yang mengambil tempat.

Saya juga terlibat dalam kajian tentang isu-isu yang menjadi halangan pelaksanaan hukumanhududdan qisasitu, dan dipaksa untuk mencari solusi dan cuba berhujah sebaik mungkin bagi menangkis isu-isu konflik bidang kuasa, double jeopardy, dan kesaksamaan undang-undang itu. Maka timbullah idea untuk memberikan kuasa pelaksanaan hukuman hudud dan qisas itu kepada kerajaan negeri melalui peruntukan Perkara 76A Perlembagaan Persekutuan.[1]

Perkara 76A (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan sebagaimana berikut:

“Adalah dengan ini ditetapkan bahawa kuasa Parlimen bagi membuat undang-undang mengenai sesuatu perkara yang disebutkan dalam senarai Persekutuan adalah termasuk kuasa membenarkan Badan-badan Perundangan Negeri atau mana-mana daripadanya membuat undang-undang mengenai kesemua atau sebahagian perkara itu tertakluk kepada apa-apa syarat atau sekatan (jika ada) yang dikenakan oleh Parlimen.”

Manakala Perkara 76A (2) pula menyatakan sebagaimana berikut:

“Walau apapun peruntukan Perkara 75[2], sesuatu undang-undang Negeri yang dibuat menurut kuasa yang diberi oleh Akta Parlimen seperti tersebut dalam Fasal (1) boleh, jika dan setakat mana yang diperuntukkan oleh Akta itu, meminda atau memansuhkan (mengenai negeri yang berkenaan itu) mana-mana undang-undang Persekutuan yang telah diluluskan sebelum Akta itu.”

Pembacaan sepintas lalu peruntukan-peruntukan di atas menunjukkan bahawa untuk membolehkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan memperluaskan kuasa mereka, maka Parlimen boleh memberikan kuasa tersebut kepada DUN melalui peruntukan-peruntukan di atas.

Mengikut kajian saya, idea ini pertama kali ditimbulkan oleh Professor Tan Sri Datuk Ahmad Ibrahim seawal tahun 1995 lagi.[3]Ia kemudiannya diulang oleh Dato’ Dr. Abdul Monir Yaacob pada tahun 1996.[4]Dato’ Dr Mohamed Fadzli Bin Dato’ Hj Hassan juga kemudiannya mempopularkan cadangan ini semasa sesi forum Bicara Hudud pada tahun 2011.[5]Beliau sekali lagi mengesahkan cadangan ini dalam kertas kerjanya bertajuk “Ke arah Perlaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993”di Muzakarah Jenayah Syari’ah Kebangsaan anjuran YADIM pada 29 Mei 2014. Antara lain, katanya:

“Selain itu satu lagi rang undang-undang persendirian (private member’s bill) akan dibawa ke parlimen bagi meluaskan bidangkuasa Dewan Undangan Negeri Kelantan sebagaimana peruntukan 76A (1).”

Walau bagaimanapun, cadangan di atas perlu dikaji secara terperinci sebelum suatu tindakan diambil berdasarkan peruntukan perkara 76A Perlembagaan Persekutuan tersebut. Saya cuba merungkai secara ringkas persoalan-persoalan yang timbul mengenai hal ini.

Kesan-kesan Daripada Penggunaan Peruntukan 76A

1. Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) sudah tidak relevan

Mengikut Ahmad Ibrahim, kesan daripada peruntukan perkara 76A, apabila Parlimen memberikan kuasa kepada DUN, maka DUN boleh meminda atau boleh langsung membiarkan apa-apa undang-undang yang sebelum ini menyekat kuasa DUN. Ini bermakna, Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) tidak lagi membawa apa-apa kesan yang boleh menyekat Kerajaan Negeri Kelantan. Dalam bahasa mudahnya, jika Akta 355 tidak dipinda sekalipun, DUN Kelantan sudahpun mempunyai bidangkuasa untuk melaksanakan hukuman hudud dan qisas apabila Parlimen sudahpun meluluskan pemberian kuasa tersebut berdasarkan perkara 76A.[6]

Jika benarlah ini kesan yang dikehendaki oleh perkara 76A, kerajaan yang ada sekarang boleh mengemukakan usul untuk meminda Akta 355, atau jika kerajaan Kelantan merasakan mempunyai keberanian dan kemampuan melobi ahli Parlimen, boleh saja kerajaan Kelantan mengusulkan supaya Parlimen membenarkan DUN Kelantan melaksanakan EKJSII berdasarkan perkara 76A.

2. Undang-undang yang diluluskan berdasarkan perkara 76A akan termasuk dalam Senarai Bersama[7]

Mengikut Ahmad Ibrahim lagi, kesan daripada perkara 76A adalah, apabila Parlimen memberi autoriti kepada DUN untuk menggubal dan meluluskan sesuatu undang-undang berdasarkan perkara 76A, undang-undang tersebut akan dikira sebagai undang-undang yang tersenarai dalam Senarai Bersama.[8]

Perkara 76A (3) menyatakan sebagaimana berikut:

“Apa-apa perkara yang mengenainya Badan Perundangan sesuatu Negeri dibenarkan pada masa itu oleh Akta Parlimen untuk membuat undang-undang hendaklah, bagi maksud Perkara 79, 80 dan 82, dikira berkenaan dengan Negeri yang berkenaan seolah-olah perkara itu ialah suatu perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Bersama.”

Jika benarlah hududdan qisasini akan disenaraikan dalam kategori Senarai Bersama, maka pastinya ia bukanlah bidangkuasa mutlak kerajaan Negeri Kelantan, tidak sebagaimana perkara-perkara yang disenaraikan dalam Senarai Negeri[9]. Kerajaan Negeri Kelantan patut boleh memahami hal ini dan pastinya boleh bekerjasama dengan kerajaan pusat memandangkan hal ini termasuk dalam Senarai Bersama.

3. Undang-undang jenayah Syariah akan diiktiraf sebagai undang-undang yang kerajaan negeri berbidangkuasa menguatkuasakannya

Tun Abdul Hamid berpandangan bahawa dari asalnya kesalahan-kesalahan itu adalah undang-undang jenayah yang terletak dalam Senarai Persekutuan[10]. Ia tidak termasuk dalam Senarai Negeri, sebab itulah Kelantan terpaksa meminta kebenaran di bawah Perkara 76A (1).

Parlimen tidak meminda perlembagaan untuk meletakkannya di bawah Senarai Negeri. Apa yang dilakukan oleh Parlimen hanyalah membenarkan Badan Perundangan Negeri membuat undang-undang dalam perkara itu untuk dipakai di negeri itu. Sifatnya tidak diubah. Tun Abdul Hamid menekankan bahawa untuk meletakkannya di bawah Senarai Negeri memerlukan pindaan kepada perlembagaan dan majoriti dua per tiga (2/3).[11]

Terdapat pandangan yang mengatakan bahawa perkara ini tidaklah menjadi faktor negatif kepada Kerajaan Negeri Kelantan. Bahkan apabila beberapa kesalahan jenayah yang diberikan kuasa kepada DUN Kelantan untuk melaksanakannya menunjukkan bahawa satu pengiktirafan tentang undang-undang jenayah syariah itu sendiri sepatutnya berada dalam ruang lingkup kerajaan negeri yang berbidangkuasa sepenuhnya tentang pemartabatan agama Islam di setiap negeri.

4. Undang-undang yang diluluskan berdasarkan Perkara 76A boleh hanya terhad kepada orang Islam negeri tersebut sahaja

Tun Abdul Hamid seterusnya memberi pandangan bahawa ia mestilah terpakai kepada semua orang Islam dan bukan Islam sebab ia adalah undang-undang jenayah persekutuan dan bukan undang-undang yang dibuat di bawah Senarai Negeri. Jika tidak, ia tak berperlembagaan (unconstitutional) kerana bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.[12]

Terdapat pandangan yang berbeza dalam hal ini. Ada yang berpendapat, apabila parlimen telah memberikan kuasa mereka kepada DUN Kelantan, dan walaupun undang-undang yang dibuat masih tidak termasuk di bawah Senarai Negeri, kita perlu melihat secara positif klausa perkara 76A itu sendiri apabila berlaku perubahan kuasa menggubal dan melaksanakan sesuatu hukuman jenayah itu, maka DUN Kelantan sepatutnya diberi kebebasan untuk menghadkan undang-undang yang diluluskan di DUN Kelantan terhad kepada penduduk Islam di Kelantan sahaja.

Hal ini langsung tidak bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan tentang kesamarataan undang-undang. Ketidaksamarataan yang akan diamalkan di Kelantan ini termasuk dalam pengecualian yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan. 

Di dalam kes Public Prosecutor lwn. Khong Teng Khen[13],Suffian LP menyimpulkan bahawa apa yang penting dalam perkara 8 ialah “a person in one class should be treated the same as another person in the same class”. Jadi, isu diskriminasi tidak timbul kerana ia memang dibenarkan.

Di dalam kes Ahmad Tajudin bin Ishak lwn. Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang[14], mahkamah telah memutuskan bahawa diskriminasi semata-mata tidaklah membawa kepada sesuatu undang-undang itu bercanggah dengan perkara 8. Bagi membolehkan plaintif berjaya menunjukkan sesuatu undang-undang yang diskriminasi itu bercanggah dengan perkara 8, plaintif mestilah membuktikan bahawa diskriminasi tersebut adalah tidak adil dan telah membawa kerosakan.

Dalam kes hukum hudud yang hanya dikenakan kepada orang Islam sahaja, mana tidak adilnya. Bahkan inilah keadilan, kerana mana mungkin kita menghukum dengan hukuman jenayah syariah kepada seseorang yang tidak mempercayai tentang syariah itu sendiri.

5. Undang-undang yang diluluskan berdasarkan Perkara 76A boleh dibicarakan di mahkamah syariah

Sekali lagi Tun Abdul Hamid memberikan alasan kerana ia adalah undang-undang jenayah dan bukan undang-undang yang dibuat di bawah Senarai Negeri, maka undang-undang yang diluluskan berdasarkan perkara 76A mestilah dibicarakan di Mahkamah Sivil. Mahkamah Sivil mempunyai bidangkuasa terhadap orang Islam dan bukan Islam manakala Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidangkuasa terhadap orang Islam sahaja.[15]

Sekali lagi terdapat pandangan yang khilaf dengan pendapat Tun Abdul Hamid. Apabila sesuatu undang-undang itu sudahpun diluluskan berdasarkan Perkara 76A, secara tersiratnya parlimen sudahpun membenarkan mahkamah di peringkat negeri iaitu Mahkamah Syariah membicarakan undang-undang tersebut. Jika tidak, kenapa dan mengapa ia dibenarkan untuk DUN menggubal dan melaksankannya sedangkan mahkamah yang berbidangkuasa masih terikat dengan Mahkamah Sivil. Ini adalah penafsiran yang agak tidak selari.

6. Perbezaan undang-undang dari sebuah negeri ke sebuah negeri

Dalam undang-undang yang ada sekarang pun sudah terdapat perbezaan di antara sebuah negeri dengan sebuah negeri. Ini adalah mengenai undang-undang diri dan keluarga. Apatah lagi dalam undang-undang jenayah yang lebih rumit dan serius. Menurut Tun Abdul Hamid, keadaan ini akan menyebabkan ketidakpastian undang-undang dan akan mewujudkan keadaan yang kelam kabut.[16]

Sekali lagi ada yang kurang bersetuju dengan kenyataan ini. Perbezaan undang-undang antara sebuah negeri dengan sebuah negeri bukanlah sesuatu yang perlu dipandang secara negatif kerana perbezaan yang wujud bukanlah perbezaan pada perkara asas bahkan perbezaan pada perkara furu’(cabang) sahaja. Hal ini bahkan boleh dilihat secara positif tentang keluasan syariah itu sendiri dan sifat syariah itu sendiri yang murunah(flexible) memberi rahmat kepada orang-orang Islam.

7. Kelantan akan melaksanakan undang-undang hududdan qisas yang menyeluruh

Tun Abdul Hamid mengatakan bahawa Kelantan akan ada dua set undang-undang hudud. Set pertama ialah undang-undang yang dibuat di bawah Senarai Negeri, misalnya bagi kesalahan-kesalahan berzina, menuduh orang berzina dan meminum minuman yang memabukkan. Kesalahan-kesalahan itu hanya terpakai kepada orang Islam, disiasat dan didakwa oleh pegawai penyiasat dan pendakwa syariah dan dibicarakan oleh mahkamah syariah.

Set kedua ialah undang-undang yang dibuat berikutan dengan kebenaran parlimen di bawah Perkara 76A (1) itu. Undang-undang itu terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam, disiasat oleh polis, didakwa oleh pendakwa raya dan dibicarakan oleh mahkamah sivil.[17]

Ada yang melihat perkara ini bukan sebagai dua set undang-undang yang berlainan, bahkan mereka melihat perkara ini sebagai pelaksanaan undang-undang hudud dan qisas secara beransur-ansur. Apabila parlimen meluluskan DUN Kelantan untuk melaksanakan undang-undang berkaitan jenayah sariqah,hirabahqatl, dan jurh, maka ini adalah fasa kedua dalam pelaksanaan hudud dan qisas di Kelantan dan lengkaplah undang-undang berkaitan undang-undang jenayah syariah di Kelantan sebagai satu undang-undang jenayah syariah yang menyeluruh.

Cadangan Alternatif

Secara alternatifnya, Ahmad Ibrahim seterusnya mencadangkan supaya Perlembagaan Persekutuan itu sendiri dipinda, khususnya membuat pindaan pada Senarai Negeri supaya tidak ada sekatan atas DUN membuat undang-undang jenayah Islam dan tidak diadakan lagi undang-undang Persekutuan menyekat bidangkuasa Mahkamah Syariah dalam perkara itu. Dengan pindaan itu DUN mempunyai kuasa penuh membuat undang-undang jenayah Islam.[18]

Pastinya pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan majoriti dua pertiga (2/3) ahli parlimen adalah lebih merumitkan kepada Kerajaan Negeri Kelantan, dan adakah Kerajaan Negeri Kelantan sudah cukup bersedia untuk mendapatkan sokongan ahli parlimen untuk meminda Perlembagaan Persekutuan ke arah merealisasikan pelaksanaan hukuman hududdan qisasdi Kelantan pada tahap ini.

Penutup

Oleh sebab terdapat penafsiran undang-undang yang pelbagai inilah, Ahmad Ibrahim sebenarnya dalam memberikan cadangan-cadangan di atas, telah menulis secara jelas bahawa cadangan-cadangan di atas hanyalah cadangan-cadangan yang memungkinkan ke arah pelaksanaan hudud dan qisas di Kelantan, tetapi bukanlah bermaksud itulah cadangan-cadangan yang terbaik.

Oleh hal yang demikian, saya merasakan adalah lebih baik sekiranya dibuat kajian yang terperinci terlebih dahulu tentang sama ada kerajaan Negeri Kelantan itu sendiri berbidangkuasa atau tidak untuk melaksanakan hukuman hudud dan qisas. Hal ini adalah lebih penting atas alasan, jika Kerajaan Negeri Kelantan memang mempunyai bidangkuasa, maka isu perkara 76A adalah tidak lagi relevan ke arah pelaksanaan hududdan qisas di Kelantan.

Ataupun secara alternatif, kerajaan Pusat hendaklah meminda Akta 355 itu terlebih dahulu dan seterusnya membenarkan Mahkamah Syariah di Kelantan untuk menjalankan hukuman hududke atas empat (4) jenayah hududterlebih dahulu, iaitu zina, qazfsyurb, dan irtidad yang tidak melibatkan hukuman mati. Tidak timbul isu tentang bidangkuasa kerajaan negeri terhadap kesalahan-kesalahan ini.

Mengenai baki jenayah yang lain dalam EKJSII iaitu, sariqah,hirabahqatl (termasuk padanya diyat), dan jurh, terpaksalah ditangguhkan terlebih dahulu sehingga penyelesaian tentang isu pertindihan bidangkuasa ini diselesaikan secara harmoni memandangkan tafsiran kepada Perkara 76A ini sendiri masih lagi terbuka kepada perbincangan yang lebih mendalam.

Wallau a’lam.


[1]Antara yang memberi pandangan ini ialah Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Bin Nik Abdullah yang terpaksa menjawab berkali-kali persoalan yang sama yang ditanya oleh wartawan-wartawan tentang komitmen Kerajaan Negeri Kelantan tentang pelaksanaan hukuman hududdan qisasdi Kelantan.

[2]Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan: 

“Jika mana-mana undang-undang Negeri tidak selaras dengan sesuatu undang-undang persekutuan, maka undang-undang persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang Negeri dan undang-undang Negeri itu adalah tidak sah setakat yang tidak selaras itu.”

[3]Lihat Ahmad Mohamed Ibrahim, Perlaksanaan undang-undang hududdi Malaysia, Dlm. Rose Ismail (edit.), Hudud in Malaysia: the issues at stake, Cetakan Semula, Ilmiah Publishers, 2002, m/s. 159.

[4]Lihat Abdul Monir Yaacob, Kedudukan dan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam di Malaysia, Dlm. Abdul Monir Yaacob dan Sarina Othman (edit.), Tinjauan kepada perundangan Islam, Cetakan Ketiga, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), 2000, m/s. 111-112. 

[5]Forum Bicara Hudud telah diadakan pada 5 November, 2011 bertempat di Hotel al-Rawdhah, Kota Bharu Kelantan. Saya adalah salah seorang ahli panel forum tersebut.

[6]Ahmad Ibrahim, Perlaksanaan undang-undang hudud, m/s. 159.

[7]Senarai III Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

[8]Lihat Ahmad Mohamed Ibrahim, The administration of Islamic law in Malaysia, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), 2000, m/s. 639.

[9]Senarai II Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

[10]Senarai I Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

[11]Tun Abdul Hamid Bin Haji Mohamad, Patutkah Kuasa Parlimen Membuat Undang-undang Jenayah Diberikan Kepada Badan Perundangan Negeri Kelantan?, Lawati http://www.tunabdulhamid.my. Lihat juga Tun Abdul Hamid Bin Haji Mohamad, Memberi Kuasa Undang-undang Jenayah?, Lawati http://tmsabli.blogspot.com/2014/06/memberi-kuasa-undangundang-jenayah.html

[12]Ibid.

[13][1976] 2 MLJ 166, m/s. 170 F-G

[14][1997] 1 MLJ 241

[15]Tun Abdul Hamid Bin Haji Mohamad, Patutkah Kuasa Parlimen Membuat Undang-undang Jenayah Diberikan Kepada Badan Perundangan Negeri Kelantan?

[16]Ibid.

[17]Ibid.

[18]Ahmad Ibrahim, Perlaksanaan undang-undang hududdi Malaysia, m/s. 159. Lihat juga Abdul Monir Yaacob, Kedudukan dan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam di Malaysia, Dlm. Abdul Monir Yaacob dan Sarina Othman (edit.), Tinjauan kepada perundangan Islam, m/s. 112.

Akad Hibah Secara Dalam Talian (Online)

Kecoh sehari dua ini tentang kahwin secara online (dalam talian). Ada yang bersetuju dengan tindakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persektuan ini, dan ada yang tidak bersetuju. Contoh berita tentang perkahwinan dalam talian pertama kali di negara kita ini boleh dirujuk pada pautan berikut:https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/04/678568/pasangan-pengantin-pertama-nikah-secara-dalam-talian

            Saya tidaklah mahu membangkitkan sangat isu perkahwinan dalam talian itu, cuma saya ingin kaitkan tentang isu perkahwinan dalam talian dengan akad hibah secara dalam talian, kerana ia saling berkait tentang rukun akad atau sighah itu.

            Tentang isu perkahwinan dalam talian itu, saya secara peribadi bersetuju dengan pandangan yang dikemukakan oleh Al-Fadhil Ustaz Fauwaz Fadzil sebagaimana berikut:

“Apabila berlaku covid 19 ini, minda fikh dan usul saya cuba melangkah kepada suasana baru iaitu hajat yang menjadikan saya lebih penyayang dan rahmah kepada manusia. Imam Al Khatib al Bagdadi menyatakan salah satu daripada sifat orang mengeluarkan fatwa dan fikh adalah menjadi pengasih kepada orang ramai( sudah tentu dengan Syariah) . Maka jiwa seorang mufti di Malaysia perlu ada sifat penyayang agar dia tidak membebankan masyarakat.


Maka saya memerhatikan untuk menyatakan apa yang dibuat oleh Jawi itu adalah muktabar dari sudut amalan semasa kerana berlaku kesukaran wujud pertemuan pihak pengantin dengan juru-juru nikah. Maka berdasarkan hajat, ia menjadi sebab yang kuat untuk meringkan beban kebatilan nikah sebelum ini.

 
Begitu juga larangan pernikahan onlineini berasaskan sadduzzaraiesudah pasti diharuskan ketika ada hajat yang logik iaitu hajat ammah yang menduduki darurah individu.

Berdasarkan tabiat fikh yang sentiasa memudahkan masyarakat, sangat tepat tindakan Jawi mengharuskan pernikahan online dengan syarat-syarat yang ketat yang menafikan segala kepalsuan dan penipuan.

Qaedah ini perlu dijaga oleh Jawi pada dua syarat iatu tempoh ini bersifat sementara atau temporary, dan kepada individu yang berhajat kepada perkahwinan iaitu nikah satu. Sekiranya tempoh PKP itu sudah tamat, maka ia kembali kepada hukum asal. Dan kepada sesiapa yang hendak poligami maka dia boleh tangguh dahulu sebab mempunyai isteri yang pertama melainkan dia mempunyai hajat yang logik untuk berkahwin lagi.

Maka janganlah kita bergaduh lama sangat isu ini kerana ia mempunyai iktibarat syariah.

            Posting asal Al-Fadhil Ustaz Fauwaz boleh dibaca di laman facebook beliau bertarikh 19 April 2020.

            Apa yang menjadi isu dalam perkahwinan dalam talian ialah tentang akad ijab kabul itu. Dibimbangi kalau-kalau terputus talian, atau berlakunya penyamaran, penipuan, kesamaran dan sebagainya. Tambahan pula perkahwinan adalah satu ikatan yang besar, berbanding akad dalam urusan muamalah yang lebih ringan dan mudah.

Akad ijab kabul bagi hibah adalah lebih mudah. Lafaz ijab iaitu memberi hendaklah diungkapkan oleh pemberi, dan lafaz kabul oleh penerima hibah tersebut. Lafaz ijab oleh pemberi boleh dilakukan secara jelas atau nyata, atau secara tidak langsung (kiasan). Secara jelas seperti terma:

Aku berikan barang ini kepadamu”, 

dan secara kiasan seperti:

Aku telah menyerah hak milik barang ini kepadamu”, atau 

Aku sedia jadikan barang ini untukmu”.

Lafaz kabul oleh penerima juga boleh dilakukan secara jelas dan secara kiasan. Secara jelas seperti lafaz:

“Aku terima”, atau “Aku rela” dan sebagainya. 

Secara kiasan atau tidak langsung, iaitu dengan melakukan perkara-perkara yang menunjukkan penerimaan seperti penulisan, surat perjanjian, penukaran hakmilik, pembinaan bangunan, mengusahakan tanah dan sebagainya, adalah disabitkan sebagai kabul.

Yang penting dalam sighah hibah ialah ia tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

  • Ada persambungan dan persamaan di antara ijab dan kabul.
  • Tidak bersyarat tertentu.
  • Tidak disyaratkan dengan tempoh masa tertentu. Dalam kes hibah ‘umra dan ruqba adalah sah hukumnya, namun syarat tempoh masanya terbatal.

Berdasarkan perbincangan ringkas di atas, maka bolehlah saya simpulkan bahawa transaksi hibah dalam talian boleh dibenarkan, bukan sahaja semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini sahaja, bahkan dibolehkan pada bila-bila masa sahaja mengikut kesesuaian pihak-pihak yang berakad, dan saksi-saksi yang terlibat.

Apa yang lebih penting dalam akad hibah ialah wujudnya elemen al-Qabd selepas itu. Secara jelasnya, al-Qabd bererti mendapat sesuatu, menguasai dan boleh melakukan tasarruf (pengurusan) terhadap barangan atau harta. Di sini wujud perbezaan pendapat mengenai syarat penerimaan sebagai keesahan hibah.

Saya tidak bercadang untuk membincangkan isu al-Qabd dalam tulisan ini. Cukuplah saya berhenti setakat ini bagi isu hibah dalam talian.

Wallahu a’lam.

  • Artikel ini boleh dimuat turun pada pautan di bawah:

Pembaharuan Undang-Undang Hartanah Dan Penubuhan Perbadanan

Tulisan saya ini adalah kesinambungan dari tulisan saya sebelum ini yang boleh dibaca di pautan berikut: https://pustakamizi.wordpress.com/2020/04/20/tanah-sekangkang-kera-waris-beratus-orang/

Tun Abdul Hamid seterusnya mencadangkan satu pembaharuan undang-undang hartanah bagi menyelesaikan kemelut pembahagian harta pusaka atas sekeping tanah sekangkang kera yang mana warisnya beratus orang itu. Cadangan Tun adalah sebagaimana berikut: 

“Kerajaan, sebagai pihak berkuasa, membuat satu undang-undang yang menghadkan satu-satu lot tanah pusaka dibahagikan kepada waris-waris yang mengakibatkan seseorang waris itu menjadi pemilik kurang daripada satu ekar (misalnya). Jika pembahagian itu akan mengakibatkan keadaan sedemikian:

  • jika tidak ada waris yang menolak haknya; atau 
  • jika tidak ada waris yang bersedia menjual bahagiannya kepada waris-waris lain;
  • atau jika kesemua mereka tidak bersetuju menjual tanah itu kepada seseorang, waris atau bukan, 

maka tanah itu akan dipindah milik kepada sebuah perbadanan yang ditubuh oleh kerajaan. Perbadanan tersebut akan membayar harga pasaran kepada mereka dan akan dibahagikan sesama mereka mengikut bahagian mereka yang ditetapkan oleh hukum faraid, melainkan jika mereka bersetuju sebaliknya.”

            Saya berpendapat, apa yang dicadangkan oleh Tun ini sudahpun dimulai langkahnya oleh Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB). PKB melalui arahan mantan Menteri Wilayah Persekutuan, YB Khalid Bin Abdul Samad (tanpa menafikan usaha-usaha yang telah dilakukan oleh menteri-menteri sebelum ini) telah memulakan langkah dengan membuat tawaran pembelian tanah-tanah di Kampong Bharu bagi menyelesaikan isu ini. Cumanya, cadangan pembaharuan undang-undang bagi menghadkan satu-satu lot tanah pusaka dibahagikan kepada waris-waris yang mengakibatkan seseorang waris itu menjadi pemilik kurang daripada satu ekar memanglah belum dikemukakan.

            Apa yang dibuat oleh PKB ialah membuat tawaran pembelian tanah Kampong Bharu bagi tujuan pembangunan semula. Tawaran ‘pembelian’ ini lebih lemah lembut sifatnya berbanding cadangan ‘menghadkan pemilikan tanah pusaka’ dan akhirnya memindahmilik tanah tersebut kepada satu perbadanan milik kerajaan.

            Ya, mungkin cadangan menghadkan pemilikan tanah pusaka itu untuk undang-undang yang berkuat kuasa secara prospektif, manakala bagi mengatasi undang-undang yang tidak boleh berkuat kuasa secara retrospektif, maka langkah terbaik adalah secara ‘tawaran pembelian’, tanpa perlu menggunakan peluru simpanan akta pengambilan tanah dan sebagainya. Dengan wujudnya cadangan undang-undang yang baru ini (jika dipersetujui), maka akan bertambahlah senjata kerajaan dalam menangani isu tanah pusaka ini.

            Apa yang perlu dibuat ialah penambahan senjata dan peluru ini hendaklah selari dengan penambahan ilmu dan kesedaran di kalangan rakyat itu sendiri juga kerana sebagaimana yang kita sedia maklum, sesuatu perubahan sosial itu tidak boleh berlaku secara dari atas ke bawah (law changes society) melainkan mendapat kerjasama dari bawah ke atas (society changes the law) juga.

            Saya secara peribadi memang amat bersetuju dengan cadangan pembaharuan undang-undang yang dikemukakan oleh Tun tersebut dan juga cadangan penubuhan perbadanan yang lebih global sifatnya itu, bukannya secara khusus merujuk kepada tanah-tanah di Kampung Bharu sahaja bahkan penyelesaian tuntas bagi seluruh tanah dalam negara. Isu sama ada cadangan tersebut bercanggah atau tidak dengan syariah, sudahpun saya bangkitkan sebelum ini yang saya yakin dan sependapat dengan Tun bahawa ianya adalah patuh syariah.

            Cumanya, apa yang saya mahu bangkitkan di sini ialah pengalaman PKB dalam menguruskan tanah-tanah di Kampong Bharu perlu diberi perhatian supaya perbadanan yang baru diwujudkan ini (jika dipersetujui oleh kerajaan) boleh menimba ilmu dan pengalaman dari tokoh-tokoh hebat yang sedia ada di PKB.

            Perubahan juga pastinya tidak mampu dilakukan oleh kerajaan jika rakyat itu sendiri yang masih jahil tukil, tidak mahu mengubah diri sendiri, tamak, dan pentingkan diri sendiri. Maka, sebarang perubahan ke arah menyelesaikan isu ini hendaklah berlaku serentak dari kerajaan dan dari rakyat marhaen itu sendiri.

            Terima kasih saya ucapkan kepada Tun atas lontaran idea yang bernas. Semoga Tun sentiasa sihat, dipanjangkan usia dalam keberkatan Allah, dan selamat menyambut hari lahir yang ke 78, pada dua hari lepas.            

Semoga Allah memberkati kita semua.

  • Artikel penuh saya boleh dimuat turun pada pautan di bawah:

Tanah Sekangkang Kera, Waris Beratus Orang

Saya rasa terpanggil untuk memberi maklumbalas atau mengemukakan pandangan terhadap isu yang dibangkitkan oleh Tun Abdul Hamid Mohamad, mantan Ketua Hakim Negara yang amat saya hormati. Saya telah diminta oleh beberapa orang rakan saya untuk memberi pendapat saya tentang isu yang dibangkitkan oleh Tun.

           Pertamanya, saya mengucapkan terima kasih kepada Tun kerana Tun masih dan sangat cakna dengan permasalahan umat Islam, pada waktu pencen dan usia Tun yang sebegitu. Saya amat mengaguminya. Bahkan memang Tun adalah antara hakim-hakim yang amat saya kagumi. Sebelum ini saya ada juga membaca tulisan Tun berkait dengan isu tanah wakaf yang Tun menjadi hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang sewaktu itu menyelesaikan hal-hal tanah wakaf yang menjadi perbalahan dan dibawa ke mahkamah untuk diselesaikan.

            Saya juga mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan saya yang bertanya saya secara terus dan mengharapkan pandangan balas dari saya. Saya tahu, saya bukanlah layak untuk duduk bersemuka dengan ‘orang-orang besar’ untuk berbincang isu besar ini, yang Tun sendiri nampaknya tidak yakin akan ada golongan ahli politik yang berjiwa besar yang sanggup mengambil risiko besar untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan kerana ia bukanlah pilihan yang popular dan mesra pengundi.

            Kepada pembaca yang tidak tahu apa-apa isu ini kerana mungkin belum membaca tulisan Tun, anda boleh membacanya sendiri di pautan berikut: http://www.tunabdulhamid.my/index.php/speech-papers-lectures/item/976-effects-of-faraid-what-is-the-solution?

            Saya tidak mahu mengulangi isu yang dibangkitkan dan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Tun. Masing-masing boleh membacanya sendiri dalam artikel yang ditulis oleh Tun. Tulisan saya ini juga bukanlah bertujuan untuk menjawab kesemua isu yang dibangkitkan oleh Tun, kerana yang pertama, saya seperti mana Tun, bukanlah seorang ulama’ yang berkelayakan untuk membincangkan hal-hal hukum syara’ terutamanya yang melibatkan soal ijtihadi yang memerlukan kefakehan yang tinggi tentang ‘illah hukum, dan sebagainya. Keduanya, saya bukanlah seorang pakar undang-undang yang memahami segala aspek undang-undang hartanah, termasuk aspek pengambilan tanah, penubuhan perbadanan (seperti yang dicadangkan oleh Tun) dan segala aspek perundangan yang lain. Lebih-lebih lagi saya tiada ilmu ekonomi, juga ilmu politik, kerana isu yang dibangkitkan amat berkait dengan ekonomi dan politik negara.

            Cuma, saya tersentuh untuk memberi maklum balas kerana Tun berulang kali menyatakan kerisauan beliau takut-takut cadangan yang beliau kemukakan adalah bercanggah dengan syara’ kerana dibimbangi ia membelakangkan hukum faraid. Baiklah, bab yang ini yang saya terpanggil untuk memberi secuit pendapat.

            Pembahagian faraid tidak boleh dilihat dari sudut yang ketat (rigid), terkongkong, sempit dan sebagainya. Ia perlu dilihat secara luas, dari sudut keadilan, rahmat dan hikmat di sebaliknya sebagai solusi dari Allah SWT kepada umat. DIA yang menciptakan kita, dan DIA yang memberikan manual tentang solusi bagi segala yang berlaku.

            Terdapat beberapa pembaharuan undang-undang berlaku pada zaman ini yang secara zahirnya nampak seolah-olah bercanggah dengan faraid, tetapi hakikatnya adalah sebagai cadangan solusi pembahagian harta pusaka bagi umat Islam. Pembaharuan undang-undang ini pula sudah diakui oleh ulama’, walaupun mungkin ada yang tidak bersetuju dengannya. Saya bagi dua (2) contoh yang terlintas pada fikiran saya ketika ini, iaitu tentang pendaftaran pemilikan tanah FELDA yang dihadkan kepada dua (2) pemilik berdaftar, dan tentang isu hak waris patah titi. Kedua-dua isu ini, secara zahirnya memang nampak bercanggah dengan faraid kerana faraid tidak menghadkan hak waris atas sebarang harta peninggalan si mati (isu tanah FELDA), dan faraid memang secara jelas menafikan hak waris patah titi kerana mereka sudah terdinding oleh waris ‘asabahyang lebih dekat (isu wasiyyah wajibah). 

Benarkan saya memetik kembali tulisan saya dalam buku “Pengurusan Dan Pembahagian Harta Pusaka di Malaysia” berkaitan pewarisan tanah FELDA sebagaimana berikut:  

“Tanah di bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 tertakluk kepada seksyen 15 akta tersebut yang hanya membenarkan turunmilik dilakukan kepada dua orang waris sahaja. Atas faktor ini, ada yang menganggap bahawa pewarisan tanah FELDA adalah bercanggah dengan faraid, dan sekaligus bercanggah dengan hukum syarak.

Tun Abdul Razak, Perdana Menteri kita dahulu sebelum membentangkan Rang Undang-undang Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) sudahpun mendapat nasihat dari para mufti mengenai hal ini. Tun Abdul Razak berkata, undang-undang ini dibuat atas asas siyasah syar’iyyahbagi menjaga maslahah atas tanah yang diusahakan supaya sentiasa berdaya maju. Apabila peneroka FELDA telah menandatangani perjanjian dengan pihak kerajaan, maka pihak-pihak yang terlibat hendaklah patuh kepada terma dan syarat perjanjian. Oleh sebab itulah terdapat banyak sekatan kepentingan atas tanah FELDA yang bertujuan menjaga kepentingan kedua-dua pihak yang berkontrak.

Atas faktor inilah juga tanah FELDA dikategorikan sebagai milk al-naqis(pemilikan tidak sempurna). Oleh sebab pemilikan tidak sempurna, suratcara hibah yang melibatkan tanah FELDA walaupun dipersetujui oleh semua waris adalah tidak sah selagi tiada kebenaran pihak FELDA. Begitu jugalah bagi kes wasiat kepada bukan waris adalah tidak sah kerana Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 tidak membenarkan pindahmilik tanah FELDA dibuat kepada bukan waris.

Pewarisan tanah FELDA sememangnya masih selari dengan hukum faraid sebab waris faraid masih mendapat manfaat atau hasil dari tanah pusaka FELDA. Jika waris tiada persetujuan tentang permohonan turunmilik akibat kematian, waris hendaklah bersetuju untuk melantik pentadbir antara seorang hingga empat (4) orang di antara mereka. Inilah yang selalunya berlaku.

Dalam perintah pelantikan pentadbir (Borang F), selalunya unit pembahagian pusaka kecil akan melampirkan senarai waris yang berhak atas harta si mati bersama bahagian mereka, sama ada mengikut persetujuan muafakat, atau mengikut kiraan faraid. Pentadbir bertanggungjawab membahagikan hasil atau manfaat tanah FELDA kepada semua waris mengikut perintah bicara pusaka. Maka hak waris masih diiktiraf mengikut hukum syarak.”

Cuma mungkin isu tanah FELDA tidaklah boleh dikiaskan secara terus dengan isu yang bangkitkan oleh Tun mengenai isu faraid bagi tanah sekangkang kera yang mana warisnya mencecah sampai ratusan orang, sebab tanah FELDA itu sudahpun adanya kontrak antara pihak-pihak, berlainan dengan isu yang dibangkitkan tentang penubuhan perbadanan yang mana menampakkan tentang kerajaan mahu campur tangan. Saya sekadar mahu menunjukkan tentang apa yang zahir nampak macam bercanggah dengan faraid, walhal ia tidak bercanggah.

Begitu juga dengan isu waris patah titi. Waris patah titi merujuk kepada cucu yang kematian bapa terlebih dahulu sebelum kematian datuk/nenek mereka. Mereka akan terhalang daripada menerima harta pusaka datuk/nenek mereka kerana kewujudan bapa/ibu saudara mereka yang menjadi waris yang menghabiskan baki (‘asabah) kepada harta pusaka peninggalan datuk/nenek. Bagi memberikan keadilan kepada waris patah titi, maka timbullah pembaharuan undang-undang yang dikenali sebagai ‘wasiyyah wajibah’.

Wasiyyah wajibahmerujuk kepada konsep wasiat yang seolah-olah wujud daripada datuk/nenek kepada cucunya sebelum datuk/nenek itu meninggal dunia. Wasiat pada asalnya bukanlah wajib. Tetapi bagi menjaga maslahat/kepentingan waris patah titi, wasiat ini seakan-akan wajib ada yang diwajibkan adanya oleh pemerintah melalui penguatkuasaan undang-undang. 

Isu wasiyyah wajibahini juga nampak seolah-olah bercanggah dengan faraid, tetapi ia diterima di serata dunia Islam keran ada dalil pengharusannya. Isu wasiyyah wajibahada saya sentuh dalam buku saya di atas.

Saya ingat cukuplah itu sahaja dulu maklum balas awal saya berkait isu yang dibangkitkan oleh Tun. Saya yakin, penubuhan perbadanan yang dicadangkan oleh Tun memang tidak bercanggah dengan syariah, sebab faraid itu sifatnya solusi pembahagian harta, bukannya menjahanamkan harta dengan menjadikannya terbiar dan beku.

Wallahu a’lam.

KEMATIAN BERLAPIS & WARIS HILANG

Soalan:

Suami saya meninggal dunia dan meninggalkan waris-waris berikut;

Saya sebagai isterinya, seorang anak perempuan kami, seorang ibu, dua orang adik beradik lelaki dan lima orang adik beradik perempuan.

Dia hanya meninggalkan sebuah apartment (leasehold) yang berharga lebih kurang RM100 ribu yang masih ada baki pinjaman tanpa insuran MRTA. Rumah tersebut sudah berstatus hakmilik strata tetapi nama pemilik masih lagi nama pemaju.

Empat bulan selepas itu, ibunya pula meninggal dunia dan meninggalkan waris iaitu adik beradik kepada arwah suami saya tadi.

Sekarang saya dan waris yang lain beshasrat untuk menjual apartment tersebut. Satu masalah yang timbul ialah tentang seorang abang arwah suami saya yang tidak dijumpai hingga sekarang setelah dia mengikut bapa saudaranya ke Singapura semenjak berumur enam tahun lagi.

Tolong sediakan semua dokumen yang berkaitan bagi urusan penjualan apartment tersebut. Tolong uruskan secepat yang mungkin kerana kami amat memerlukan wang tunai.

Jawapan:

Banyak prosedur yang perlu dilalui satu-persatu sebelum apartment tersebut boleh dipindahmilik kepada pembeli dan seterusnya anda dan/atau waris si mati mendapat harga jualan apartment tersebut.

Ringkasan prosedurnya adalah seperti berikut:

1. Permohonan perlantikan pentadbir di unit pesaka kecil di pejabat tanah yang berkaitan. Borang A diisi beserta semua dokumen dan surat persetujuan ditandatangani. Unit pesaka kecil akan mengeluarkan perintah perlantikan pentadbir yang dikenali sebagai Borang F. Adalah lebih baik melantik anak perempuan anda (sekiranya dia sudah berumur lebih 18 tahun) sebagai pentadbir memandangkan dialah waris yang paling banyak mendapat kadar bahagian harta pusaka peninggalan arwah suami anda itu. Pindahmilik kepada waris dan permohonan perintah jualan tidak boleh dipohon di sini kerana ketiadaan persetujuan daripada waris yang hilang.

2. Perjanjian jual beli antara pentadbir dan pembeli ditandatangani. Pembeli membayar wang deposit dan kedua-dua pihak bersetuju dengan terma dan syarat dalam perjanjian jual beli. Masa yang mencukupi perlu diberikan oleh pihak pembeli kepada pihak penjual supaya pihak penjual berkelapangan untuk meneruskan prosedur seterusnya.

3. Oleh sebab seorang waris tidak dapat dijejaki, permohonan perintah jualan perlu dipohon di mahkamah tinggi sivil yang berkaitan. Hanya mahkamah tinggi sivil yang mempunyai kuasa budi bicara untuk mengeluarkan perintah jualan dalam kes-kes sebegini.

4. Sebelum permohonan perintah jualan diteruskan, selalunya mahkamah sivil memerlukan sijil faraid sebagai keterangan pembuktian tentang waris-waris yang berhak kepada harta si mati.

5. Permohonan sijil faraid dibuat di mahkamah syariah yang berkaitan. Oleh sebab telah berlaku pertindihan kematian, iaitu suami penanya meninggal dan kemudian diikuti oleh ibu si mati, dan ianya melibatkan waris-waris yang sama, eloklah permohonan sijil faraid dibuat secara serentak bagi pihak suami penanya dan ibu si mati, dan sijil faraid mengikut kiraan munasakhat adalah lebih tepat.

Pengiraan faraid adalah sebagaimana berikut:

Bahagian asal isteri ialah 1/8 kerana si mati ada meninggalkan anak. Bahagian asal ibu ialah 1/6 kerana si mati ada meninggalkan anak. Bahagian asal anak perempuan (AP) ialah 1/2 kerana si mati meninggalkan anak perempuan tunggal. Manakala baki harta menjadi milik ‘asabah iaitu adik-beradik lelaki & perempuan si mati.

Dalam kes ini, asal masalah ialah 24, iaitu nombor 24 dikira sebagai pembawah yang sama bagi kadar bahagian waris fardu iaitu isteri, ibu, dan AP. Setelah ditashihkan, kiraannya menjadi sebagaimana berikut:

Isteri = 3/24, Ibu = 4/24, AP = 12/24, Baki = 5/24. Baki ini hendaklah dita’sibkan antara lima (5) saudara seibu sebapa perempuan (SIBP), dengan dua (2) saudara seibu sebapa lelaki (SIBL) yang mana keseluruhan bahagian akan menjadi 9 bahagian iaitu 5 bahagian untuk SIBP dan 4 bahagian untuk SIBL.

Setelah ditashihkan lagi, iaitu 9 bahagian darab 24 asal masalah, pembawah yang sama akan jadi 216. Pengiraan selanjutnya akan menjadi sebagaimana berikut:

Isteri = 27/216, Ibu = 36/216, AP = 108 /216, 5 orang SIBP = 25/216, setiap seorang mendapat 5/216, 2 orang SIBL = 20/216, setiap seorang mendapat 10/216. Tamatlah kiraan selapis.

Perlu pula dikira bahagian ibu iaitu 36/216 yang juga telah meninggal dunia dan meninggalkan waris seperti berikut:

5 orang anak perempuan (AP); dan 2 orang anak lelaki (AL); menjadikan kadar bahagian ta’sib mereka juga sama seperti masalah pertama iaitu 9 dimana 5/9 menjadi hak AP dan 4/9 menjadi hak AL. Setelah bahagian ibu 36/216 dibahagi 9 bahagian, setiap bahagian daripada SIBP dan SIBL mendapat tambahan 4/216. Pengiraan akhir adalah sebagaimana berikut:

Isteri = 27/216, Ibu = 0/216, AP = 108/216, 5 orang SIBP = 45/216, setiap orang mendapat 9/216, 2 orang SIBL = 36/216, setiap orang mendapat 18/216.

6. Bagi kadar waris yang hilang tadi iaitu 18/216, terdapat dua pilihan prosedur yang boleh diambil:

(i) Permohonan anggapan kematian di mahkamah sivil berdasarkan seksyen 108 Akta Keterangan. Tarikh kematiannya dianggap adalah pada tarikh perintah anggapan kematian dikeluarkan, iaitu pastinya selepas si mati meninggal dunia. Jadi, memang 18/216 menjadi hak harta pusaka waris yang yang hilang tersebut. Untuk membuktikan anggapan kematian, usaha mencari waris tadi di Singapura perlu dibuat terlebih dahulu sebagai bahan bukti untuk diekshibitkan dalam dokumen mahkamah. Sekiranya mahkamah berpuas hati, maka kadar 18/216 ini boleh pula difaraidkan sekali lagi atau dibahagi secara muafakat antara ahli waris; atau

(ii) Memohon supaya kadar bagi waris yang tidak dapat dijejaki tadi dipegang oleh pihak Amanah Raya Berhad sebagai pemegang amanah bagi waris tersebut (dengan anggapan dia masih hidup pada masa tersebut) sehinggalah dia atau warisnya muncul menuntut kembali hak daripada harta pusaka tersebut atau sehinggalah dibuat permohonan anggapan kematian setelah cukup segala bukti dan keterangan.

7. Setelah perintah jualan diperolehi, sekiranya hartanah tersebut terdapat sekatan dan memerlukan kebenaran pindahmilik dan gadaian, permohonan kebenaran pindahmilik dan gadaian perlu dibuat di pejabat tanah yang berkaitan. Perlu diingat bahawa hakmilik strata adalah masih atas nama pemaju, jadi kerjasama daripada pemaju adalah penting supaya permohonan direct transfer boleh dilakukan.

8. Setelah surat kebenaran pindahmilik dan gadaian diperolehi, barulah bank pembeli boleh membayar tebus hutang kepada pemegang kuasa wakil hartanah tersebut kerana ianya tidak lindungi oleh insuran MRTA. Setelah itu, proses pembatalan kuasa wakil didaftarkan di mahkamah tinggi.

9. Setelah itu, pembeli boleh meneruskan dengan proses adjudikasi dan pembayaran duti setem ke atas dokumen pindahmilik Borang 14A.

10. Akhirnya, setelah didapati bahawa hartanah tersebut telah benar-benar bebas daripada sebarang sekatan, barulah pindahmilik kepada pembeli baru boleh didaftarkan dan anda dan/atau waris si mati mendapat baki harga jualan.

Kalau dah begini prosedurnya, anda boleh bayangkan sendiri, berapa lama masa yang perlu diambil. Berapa lama masa yang anda ambil untuk membaca huraian ringkas di atas. Berapa lama pula masa yang anda ambil untuk memahaminya.

Pengajarannya: Pengurusan pusaka jangan ditangguhkan. Jika ditangguhkan, selalunya akan bersatu kematian berlapis. Adanya waris yang hilang bukanlah alasan untuk menangguhkan pengurusan pusaka.

FARAID

SOALAN:

Si mati tak kahwin, ibu bapa pun dah tak ada, waris dia:

1 lelaki & 3 perempuan (seibu sebapa) &

1 lelaki & 2 perempuan (seibu) &

nenek sebelah ibu

Duit utk dibahagikan RM103k

JAWAPAN:

Pengiraan:

Nenek = 1/6

3 SIBP & SIBL = Asabah bil-ghairi

Saudara Seibu terdinding sebab adanya nenek

Asal Masalah = 6

Nenek = 1/6

3 SIBP & SIBL = 5/6

Juzuk Saham = 5

Tashih = 6

Nenek = 1/6 = RM17,166.66

3 SIBP = 3/6, setiap SIBP = 1/6 = RM17,166.66

SIBL = 2/6 = RM34,333.32

MEMBUMIKAN FARAID

Pendaftaran ISBN bagi buku ‘Membumikan Faraid’ telah diluluskan oleh Perpustakaan Negara.

Maka, sahlah saya pemilik bagi judul buku “Membumikan Faraid”.

Sebelum ini, beberapa buah lain ada juga menampilkan tajuk “Membumikan” antara lain ialah:

1. Membumikan Syariah oleh Prof. Dr. Daud Bakar;
2. Membumikan Islam oleh Prof. Dr. Ahmad Syafii Maarif;
3. Membumikan Tadabbur oleh Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim;
4. Membumikan al-Quran oleh Dr. M. Quraish Shihab;
5. Membumikan Harapan oleh Abu Al-Hamd Rabi’;
6. Membumikan Islam Nusantara oleh Dr. Ali Masykur Musa;
7. Membumikan Syariat Islam oleh Dr. Yusof Al-Qaradhawi;
8. Membumikan Ulumul Quran oleh Dr. Ahsin Sakho Muhammad;
9. Membumikan Hüküm Islam oleh Jasser Auda;
10. Membumikan Rahmat Allah oleh Ust. Yusuf Mansur; dan

tajuk-tajuk lain seperti Membumikan Adab, dan Membumikan ASWAJA pun ada.

Harapan saya agar buku Membumikan Faraid membawa manfaat kepada masyarakat. Dan kalau ikutkan angan-angan saya, saya nak terbitkan buku Membumikan Faraid ini secara bersiri-siri banyaknya, menjadikannya berjilid-jilid.

Kita start dengan yang ni dulu.

Terima kasih atas sokongan dari semua.