Kecoh sehari dua ini tentang kahwin secara online (dalam talian). Ada yang bersetuju dengan tindakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persektuan ini, dan ada yang tidak bersetuju. Contoh berita tentang perkahwinan dalam talian pertama kali di negara kita ini boleh dirujuk pada pautan berikut:https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/04/678568/pasangan-pengantin-pertama-nikah-secara-dalam-talian
Saya tidaklah mahu membangkitkan sangat isu perkahwinan dalam talian itu, cuma saya ingin kaitkan tentang isu perkahwinan dalam talian dengan akad hibah secara dalam talian, kerana ia saling berkait tentang rukun akad atau sighah itu.
Tentang isu perkahwinan dalam talian itu, saya secara peribadi bersetuju dengan pandangan yang dikemukakan oleh Al-Fadhil Ustaz Fauwaz Fadzil sebagaimana berikut:
“Apabila berlaku covid 19 ini, minda fikh dan usul saya cuba melangkah kepada suasana baru iaitu hajat yang menjadikan saya lebih penyayang dan rahmah kepada manusia. Imam Al Khatib al Bagdadi menyatakan salah satu daripada sifat orang mengeluarkan fatwa dan fikh adalah menjadi pengasih kepada orang ramai( sudah tentu dengan Syariah) . Maka jiwa seorang mufti di Malaysia perlu ada sifat penyayang agar dia tidak membebankan masyarakat.
Maka saya memerhatikan untuk menyatakan apa yang dibuat oleh Jawi itu adalah muktabar dari sudut amalan semasa kerana berlaku kesukaran wujud pertemuan pihak pengantin dengan juru-juru nikah. Maka berdasarkan hajat, ia menjadi sebab yang kuat untuk meringkan beban kebatilan nikah sebelum ini.
Begitu juga larangan pernikahan onlineini berasaskan sadduzzaraiesudah pasti diharuskan ketika ada hajat yang logik iaitu hajat ammah yang menduduki darurah individu.
Berdasarkan tabiat fikh yang sentiasa memudahkan masyarakat, sangat tepat tindakan Jawi mengharuskan pernikahan online dengan syarat-syarat yang ketat yang menafikan segala kepalsuan dan penipuan.
Qaedah ini perlu dijaga oleh Jawi pada dua syarat iatu tempoh ini bersifat sementara atau temporary, dan kepada individu yang berhajat kepada perkahwinan iaitu nikah satu. Sekiranya tempoh PKP itu sudah tamat, maka ia kembali kepada hukum asal. Dan kepada sesiapa yang hendak poligami maka dia boleh tangguh dahulu sebab mempunyai isteri yang pertama melainkan dia mempunyai hajat yang logik untuk berkahwin lagi.
Maka janganlah kita bergaduh lama sangat isu ini kerana ia mempunyai iktibarat syariah.”
Posting asal Al-Fadhil Ustaz Fauwaz boleh dibaca di laman facebook beliau bertarikh 19 April 2020.
Apa yang menjadi isu dalam perkahwinan dalam talian ialah tentang akad ijab kabul itu. Dibimbangi kalau-kalau terputus talian, atau berlakunya penyamaran, penipuan, kesamaran dan sebagainya. Tambahan pula perkahwinan adalah satu ikatan yang besar, berbanding akad dalam urusan muamalah yang lebih ringan dan mudah.
Akad ijab kabul bagi hibah adalah lebih mudah. Lafaz ijab iaitu memberi hendaklah diungkapkan oleh pemberi, dan lafaz kabul oleh penerima hibah tersebut. Lafaz ijab oleh pemberi boleh dilakukan secara jelas atau nyata, atau secara tidak langsung (kiasan). Secara jelas seperti terma:
“Aku berikan barang ini kepadamu”,
dan secara kiasan seperti:
“Aku telah menyerah hak milik barang ini kepadamu”, atau
“Aku sedia jadikan barang ini untukmu”.
Lafaz kabul oleh penerima juga boleh dilakukan secara jelas dan secara kiasan. Secara jelas seperti lafaz:
“Aku terima”, atau “Aku rela” dan sebagainya.
Secara kiasan atau tidak langsung, iaitu dengan melakukan perkara-perkara yang menunjukkan penerimaan seperti penulisan, surat perjanjian, penukaran hakmilik, pembinaan bangunan, mengusahakan tanah dan sebagainya, adalah disabitkan sebagai kabul.
Yang penting dalam sighah hibah ialah ia tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
- Ada persambungan dan persamaan di antara ijab dan kabul.
- Tidak bersyarat tertentu.
- Tidak disyaratkan dengan tempoh masa tertentu. Dalam kes hibah ‘umra dan ruqba adalah sah hukumnya, namun syarat tempoh masanya terbatal.
Berdasarkan perbincangan ringkas di atas, maka bolehlah saya simpulkan bahawa transaksi hibah dalam talian boleh dibenarkan, bukan sahaja semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini sahaja, bahkan dibolehkan pada bila-bila masa sahaja mengikut kesesuaian pihak-pihak yang berakad, dan saksi-saksi yang terlibat.
Apa yang lebih penting dalam akad hibah ialah wujudnya elemen al-Qabd selepas itu. Secara jelasnya, al-Qabd bererti mendapat sesuatu, menguasai dan boleh melakukan tasarruf (pengurusan) terhadap barangan atau harta. Di sini wujud perbezaan pendapat mengenai syarat penerimaan sebagai keesahan hibah.
Saya tidak bercadang untuk membincangkan isu al-Qabd dalam tulisan ini. Cukuplah saya berhenti setakat ini bagi isu hibah dalam talian.
Wallahu a’lam.
- Artikel ini boleh dimuat turun pada pautan di bawah: