Soalan:
Si mati meninggalkan suami, 3 anak perempuan, dan 3 anak lelaki. 5 tahun selepas itu, suami mati meninggalkan isteri yang baru dikahwininya selepas kematian si mati pertama tadi, 6 orang anak dari isteri pertama itu tadi, dan 2 orang anak lelaki dari isteri kedua. Kira faraid bagi pembahagian harta pusaka kematian si mati pertama.
Jawapan:
Kematian pertama:
Pertamanya, kita buat pengiraan bagi kematian pertama.
Suami dapat 1/4 kerana si mati ada meninggalkan anak-anak. Baki 3/4 adalah untuk anak-anak lelaki dan perempuan, pembahagian secara ta’sib(dua untuk anak lelaki nisbah satu untuk anak perempuan) kerana mereka adalah waris asabah bil-ghairi (waris yang menghabiskan harta pusaka atas asas mereka sama darjat, anak-anak kepada si mati).
Maka baki 3/4 hendaklah dibahagikan kepada 6 orang anak si mati. Pembahagian hendaklah berdasarkan saham bagi setiap anak, iaitu 2 saham bagi anak lelaki, dan 1 saham bagi anak perempuan. Apabila dibuat penjuzukan saham mereka, jumlah keseluruhan juzuk saham mereka ialah 9.
[(3 anak lelaki) x 2 saham] + [(3 anak perempuan) x 1 saham]
(3 x 2) + (3 x 1)
6 + 3
= 9
Maka angka 9 jumlah juzuk saham ini hendaklah dibahagikan kepada 6 orang anak-anak si mati. Kita dapati terdapat angka musytarik(boleh dikecilkan / dimatikan) antara angka 9 (jumlah juzuk saham) dengan angka 3 (saham asal iaitu baki harta pusaka). Angka 9 dengan angka 3 boleh dikecilkan dengan sifir 3, menjadikan angka sembilan dikecilkan kepada 3, manakala angka 3 dikecilkan kepada 1.
Tashih (Pembetulan) bagi kiraan ini dengan cara melihat angka kadar (4) dengan angka jumlah juzuk saham (3). Angka 4 dengan angka 3 tidaklah sama, tiada angka sepunya, maka hendaklah kita darab antara keduanya. Kaedah ini dalam ilmu faraid dinamakan sebagai tabayun (pendaraban). Jadi, 4 x 3 = 12. Angka 12 menjadi angka tashih.
Selepas itu, setiap angka pada bahagian kadar didarab dengan angka juzuk saham, menjadikan tashih bagi setiap waris. Tetapi bagi bahagian suami, angka kadar (1) hendaklah didarab dengan angka jumlah juzuk saham (3) kerana kita tidak pernah memecahkan saham suami kepada juzuk saham. Maka, ia kekal dengan saham asal didarab terus dengan jumlah juzuk saham, menjadikan saham suami ialah 3/12.
Kematian kedua:
Kemudian kita beralih kepada kiraan bagi kematian kedua.
Isteri dapat 1/8 kerana si mati meninggalkan anak-anak. Maka, anak-anak si mati mendapat baki 7/8 dibahagi secara ta’sib(dua untuk anak lelaki nisbah satu untuk anak perempuan) kerana mereka adalah waris asabah bil-ghairi (waris yang menghabiskan harta pusaka atas asas mereka sama darjat, anak-anak kepada si mati).
Maka baki 7/8 hendaklah dibahagikan kepada 8 orang anak si mati. Pembahagian hendaklah berdasarkan saham bagi setiap anak, iaitu 2 saham bagi anak lelaki, dan 1 saham bagi anak perempuan. Apabila dibuat penjuzukan saham mereka, jumlah keseluruhan juzuk saham mereka ialah 13.
[(5 anak lelaki) x 2 saham] + [(3 anak perempuan) x 1 saham]
(5 x 2) + (3 x 1)
10 + 3
= 13
Maka angka 13 jumlah juzuk saham ini hendaklah dibahagikan kepada 8 orang anak-anak si mati. Tiada angka musytarik (boleh dikecilkan / dimatikan) antara angka jumlah juzuk saham (13) dengan angka saham asal (7).
Tashih (Pembetulan) bagi kiraan ini dengan cara melihat angka kadar (8) dengan angka jumlah juzuk saham (13). Angka 8 dengan angka 13 tidaklah sama, tiada angka sepunya, maka hendaklah kita darab antara keduanya. Kaedah ini dalam ilmu faraid dinamakan sebagai tabayun (pendaraban). Jadi, 8 x 13 = 104. Angka 104 menjadi angka tashih.
Selepas itu, setiap angka pada bahagian kadar didarab dengan angka juzuk saham, menjadikan tashih bagi setiap waris. Tetapi bagi bahagian isteri, angka kadar (1) hendaklah didarab dengan angka jumlah juzuk saham (13) kerana kita tidak pernah memecahkan saham isteri kepada juzuk saham. Maka, ia kekal dengan saham asal didarab terus dengan jumlah juzuk saham, menjadikan saham isteri ialah 13/104.
Kiraan Kematian Berlapis:
Bagi kiraan berlapis, kita hendaklah melihat kepada bahagian yang si mati dapat dalam pengiraan kematian pertama dengan angka tashih pada kematian kedua. Konsepnya ialah, hak si mati 2 (iaitu 3/12) kita hendak hapuskan (nasakh) atau pindahkan kepada kematian berikutnya dan membawa ia masuk ke tashih (pembetulan) pengiraan kematian kedua (104).
Caranya ialah, kita mencari angka FAKTOR SEPUNYA TERBESAR (FSTB) antara angka 3 dengan angka 104. Angka FSTB ialah 1, maka angka 1 kita letakkan kat atas lajur ‘Hubungan’.
Selepas itu, kita bahagikan angka hak si mati 2 dapat (iaitu angka 3) dengan angka FSTB (1), jawapannya 3. Angka 3 kita letakkan pada atas lajur ‘Tashih’ pada pengiraan kematian kedua.
Kemudaian, kita bahagikan angka tashih pada pengiraan kematian kedua (104) dengan angka FSTB (1), jawapannya 104. Angka 104 kita letakkan pada lajur ‘Tashih’ pada pengiraan pertama.
Ia nampak macam bersilang. Inilah kaedah bersilang yang diajar dalam kebanyakan kitab-kitab faraid.
Manakala angka ‘Munasakhat’ kita dapat dengan cara mendarabkan asal masalah/tashih pengiraan kematian pertama (12) dengan angka 104 yang kita letak kat atas lajur ‘Tashih’ itu tadi. 12 x 104 = 1248. Angka 1248 adalah angka ‘Munasakhat’.
Seterusnya kita darab semua bahagian waris yang masih hidup dengan angka 104. Hasilnya ialah setiap anak lelaki dapat 2 x 104 = 208, dan setiap anak perempuan dapat 1 x 104 = 104. Angka-angka ini kita letak pada lajur ‘Munasakhat’ sebelah kiri menunjukkan jumlah saham yang waris-waris ini terima pada kematian pertama.
Seterusnya, kita darab pula semua bahagian waris yang masih hidup dengan angka 3 untuk mengetahui hak mereka bagi kematian kedua. Hasilnya, setiap anak lelaki dapat 14 x 3 = 42. Setiap anak perempuan dapat 7 x 3 = 21. Manakala isteri dapat 13 x 3 = 39.
Akhirnya, kita jumlahkan apa yang waris-waris terima bagi kematian pertama dan kematian kedua menjadikan ‘Tashih’ (Pembetulan) seterusnya. Jadi, setiap anak lelaki dari si mati pertama dapat 208 + 42 = 250. Setiap anak perempuan dapat 104 + 21 = 125. Manakala isteri kekal 39, dan anak lelaki dari isteri kedua kekal 42 bahagian daripada keseluruhan bahagian 1248.
Wallahu a’lam.
Oleh:
Ahmad Termizi Abdullah
2 Mei 2020
Anda boleh muat turun artikel ini di pautan berikut: